Tajuk-tajuk Kajian Mahasiswa/ mahasiswi

1) Industri Ternakan: Ayam
Penyelidik Projek (ayam Petelor): Anna Maureen bte Abdullah Sambry
Penyelidik Projek (Ayam Pedaging): Alsufri Bin Haji Sulaiman

Menurut buku Sains dan Teknologi bagi Pembangunan Agribisnes Ayam Pedaging: Penggerak Ekonomi Pertanian, Brunei Darussalam (2003: 3), pada awal abad ke-15 kuasa-kuasa Eropah telah bermula menjajah Nusantara Melayu sehinggalah ke penghujung Abad ke-20. Mereka telah memperkenalkan baka-baka ayam baru dari Eropah ke wilayah-wilayah jajahan mereka secara tidak langsung, terutamanya melalui pameran-pameran pertanian dan ternakan. Setelah negara-negara di Nusantara Melayu memperolehi kemerdekaan daripada penjajah-penjajah Eropah, perkembangan penternakan ayam mula berubah daripada sistem sara diri atau perternakan subsisten menjadi satu industri penternakan yang sebenar. Pada ketika ini, usaha penternakan ayam diperakui merupakan satu bidang agribisnes yang amat viabel bagi merangsang pertumbuhan ekonomi pertanian. Industri penternakan ayam bukan sahaja memainkan peranan yang penting dalam ekonomi Negara Brunei Darussalam bahkan ianya telah menjadi satu industri terpenting di seluruh negara.


2) Industri Ternakan: Kambing
Penyelidik Projek (Kambing Pedaging): Mohd Hasif bin Ismail
Penyelidik Projek Rintis (Kambing Tenusu): Muhd Mujib bin Abdul Musauwir

Memelihara kambing merupakan salah satu dari tradisi Negara Brunei Darussalam. Kambing-kambing ini biasanya digunakan untuk tujuan amal ibadah iaitu aqiqah. Pemeliharaan kambing di Negara Brunei Darussalam tidak banyak tetapi keperluan kambing itu sangatlah tinggi sehingga kambing-kambing ini terpaksa di ambil atau di beli dari Negara luar untuk tujuan mendapatkan aqiqah, daging dan susu kambing dan sebagainya. Dalam kajian ini, pengkaji akan mengkaji mengenai kelebihan daging kambing, berapa jenis kambing yang ada di Negara Brunei Darussalam, bagaimana cara pemeliharaan kambing, apakah permasalahan-permasalahan yang timbul dan sebagainya.


3) Industri Explorasi Penternakan Bekara
Penyelidik Projek Rintis: Dy Nurul Amal Su’aidah binti Arsat

Bekara adalah salah satu hidupan laut yang terkenal di Negara Brunei Darusalam. Pada masa lampau, ia ditangkap sama ada dengan menyelam, membubu dan juga dipancing. Ia hanya ditangkap untuk tujuan dimakan sesama keluarga sahaja. Namun, seiring dengan perjalanan waktu, bekara menjadi salah satu hidangan yang sangat terkenal sehingga menyebabkan harga bagi bekara sentiasa naik (over-price). Kaedah penangkapan juga masih sama tetapi lebih menggunakan peralatan canggih. Kajian yang akan dijalankan ini akan fokus kepada melihat cara penangkapan bekara di Brunei, masalah yang yang timbul dan cara-cara yang boleh diketengahkan untuk mengurangkan masalah-masalah tersebut. Sekaligus, melihat potensi dari segi pembiakan bekara di Brunei Darussalam (memandangkan ia belum ada di Brunei) dan juga peluang import dan eksport bekara sebagai salah satu langkah mengurangkan kebergantungan negara kepada minyak dan gas. Kajian yang akan dijalankan akan lebih fokus kepada kejadian-kejadian yang berlaku di Brunei dan  contoh-contoh dari luar akan diambil dari kejadian luar negara (literature review)  sebagai penyelesaian masalah yang timbul.


4) Industri Pisang
Penyelidik Projek: Muhammad Zaki bin Zakaria

Pisang atau nama saintifiknya Musa Paradisiaca adalah sejenis tumbuhan yang hidup liar yang berpotensi besar untuk di komersialkan di Asia Tenggara terutama sekali di Negara Brunei Darussalam. Ini adalah kerana iklim dan suhu Negara yang amat sesuai dan optimum untuk pertumbuhan tanaman pohon Pisang. Selain itu, pohon Pisang mempunyai kegunaan yang pelbagai. Disamping kegunaannya yang pelbagai, pohon pisang juga boleh dijadikan penawar dan ubat kerana ia mempunyai banyak khasiat dan manfaat yang baik untuk kesihatan. Di dalam kajian ini, saya akan membincangakan mengenai cara-cara penanaman pohon pisang yang betul. Disamping itu juga, saya akan menyelidiki apakah cabaran dan potensi yang dihadapi oleh peladang-peladang persendirian.


5) Industri Pembuatan: Gula Gelagah
Penyelidik Projek: Dk Noratul Ain binti Pg Musa

Proses pembuatan gula gelagah adalah berbeza dari zaman dahulu dengan sekarang. Secara tradisinya, menurut salah seorang informan, ‘candasan’ adalah alat yang digunakan untuk menapis air tebu dari batangnya. Kemudian air tebu tersebut direbus selama 4 jam untuk mendapatkan gula gelagah. Kaedah menggunakan ‘candasan’ adalah satu kaedah yang agak rumit dan hanya orang yang tertentu dapat melakukannya. Tetapi pada masa sekarang, dengan adanya mesin penapis air tebu pembuatan gula gelagah tidaklah begitu rumit berbanding zaman dahulu. Menurut informan, produk-produk yang dapat dihasilkan dari pokok tebu adalah banyak seperti gula gelagah, ‘hampas’ tebu digunakan sebagai makanan haiwan atau baja tumbuhan, air tebu dan pelbagai lagi. Tambahan lagi, kegunaan gula gelagah dalam masyarakat Brunei adalah penting dalam pembuatan kuih-muih tradis. Kajian ini akan dibuat dikawasan rumah ketua kampong Jerudong, Hj Muhammad Rais bin Haji Ishak. Pada awalnya, saya akan menemuramah informan-informan untuk mendapatkan segala informasi tentang gula gelagah dan pokok tebu. Kemudiannya, saya akan menetapkan tarikh yang sesuai untuk pengambaran proses pembuatan gula gelagah dijalankan.




6) Industri Perubatan: Herba
Penyelidik Projek: Abdul Adri bin Haji Abdul Adzid

Perubatan tradisi herba atau dikenali juga sebagai “Traditional Herbs Medicine” adalah merupakan perubatan yang diwarisi secara turun temurun. Perubatan ini diamalkan oleh sesetengah masyarakat yang mana majoritinya adalah golongan orang tua. Dengan perubatan inilah salah satu cara yang menjadi pilihan masyarakat Melayu untuk merawat pesakit dan juga menyembuhkan penyakit yang dihadapi oleh individu masyarakat Melayu. Kaedah perubatan dan perawatan ini tidaklah begitu pupus ditelan zaman dalam memberikan perawatan kepada pesakit sugguhpun zaman sekarang semakin moden dan serba canggih ini. Ini adalah kerana ubat tradisi masih lagi digunakan dalam perubatan oleh segelintir masyarakat Melayu pada masa sekarang.


7) Industri Hiburan:  Tarian
Penyelidik Projek: Sardiman bin Haji Duraman

Tarian merupakan satu seni yang diwarisi oleh masyarakat Brunei semenjak zaman berzaman lagi. Tarian yang diwarisi oleh masyarakat Brunei memang banyak genrenya seperti tarian menyambut tetamu, tarian berkasih sayang, tarian memuja terutama sekali untuk mengubati pesakit dan sebagainya. Tarian-tarian inilah yang diwarisi dan diajarkan kepada generasi-generasi muda yang kebanyakkannya kurang malahan ada yang langsung tidak mengetahui akan tarian-tarian Brunei. Bagi merealisasikan hasrat untuk mengembalikan atau menghidupkan semula tarian-tarian ini, maka saya mengambil langkah untuk menjadikan seni tarian ini dalam industri tradisi Brunei. Untuk projek ini, saya akan melibatkan kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah sebagai sasaran atau target utama untuk menghidupkan semula tarian-tarian Brunei ini.

No comments:

Post a Comment